Latar belakang Serangan_hendap_Lahad_Datu_1985

Hampir seluruh kawasan di timur Sabah terkenal dengan jumlah warga Filipina yang tinggi, termasuk yang tinggal secara sah ataupun secara haram.[1][2] Kawasan ini telah menjadi syurga kepada lanun-lanun dari Filipina dan Sabah sendiri telah menderita 10 serangan besar sejak 1976.[2][4] Pada petang 23 September, tiba-tiba sejumlah lelaki bersenjata yang memakai baju hijau seperti askar muncul di pekan tersebut dan mula melancarkan tembakan rambang.[1] Serangan dan tembakan tersebut meninggalkan pekan itu dengan kemusnahan dan darah mereka yang ditembak boleh ditemui hampir di setiap penjuru. Salah seorang mangsa yang merupakan wanita yang sarat mengandung, ditembak ketika beliau sedang dihantar pulang di dalam van. Pemandu van tersebut sempat membawanya ke hospital namun beliau telah disahkan meninggal dunia setibanya di situ.[1] Seorang lagi mangsa, seorang Cina cedera ditembak dalam serangan tersebut. Semasa temu ramah dengannya, beliau memberitahu..

Ketika saya sedang berjalan di sekitar jalan yang berhampiran dengan pantai, saya melihat lapan lelaki berbaju seperti askar membawa M-16 dan mesingan berlari menuju ke pusat pekan. Satu tembakan kemudian kedengaran dengan seorang lelaki berlari ke arah saya. Saya kemudiannya bersembunyi di sebuah kafe bersama pemiliknya, di bawah sebuah meja sambil terus mendengar tembakan dan letupan yang berterusan itu. Saya bersangka bahawa pekan ini telah diserang oleh Tentera Filipina. Tiba-tiba, sebutir peluru memecahkan tingkap kafe tersebut dan melihat kaki saya telah terkena dengan tembakan. Pada masa itu, saya mula terbayang wajah isteri dan tiga anak saya dan berasa yang saya tidak akan dapat melihat mereka lagi. Namun kemudian saya menganggap diri saya bertuah kerana saya masih dapat bertemu dengan mereka. Tetapi walaupun begitu, saya masih tertanya-tanya mengapa kerajaan kita, tidak dapat melindungi kita dari perompak-perompak ini.[2]

Ketidakstabilan Filipina telah menyebabkan masalah ekonomi yang besar untuk Sabah. Serangan tentera Filipina terhadap kumpulan-kumpulan anti-Marcos di kepulauan Sulu dan Mindanao telah mengakibatkan banyak rumah dan ladang-ladang musnah, ini memaksa kira-kira 100,000 orang Moro di selatan Filipina untuk berhijrah ke Sabah.[2] Sementara mereka yang masih tinggal di kepulauan Filipina telah terlibat dengan kegiatan jenayah, sebahagian besarnya dalam penyeludupan dan rompakan bersenjata.[2]